Akhirnya penantian selama 3 bulan berakhir dengan kecemerlangan. Cuma beberapa orang ahli keluarga yang tidak dapat hadir. Azhar dan keluarga bercuti di Hong Kong. Un ada majlis bersama anak yatim di rumah barunya. Cik Uli tidak beberapa sihat. Balqis, kerja. Shasha, jauh di Tambunan. We, tumpuan keluarga saya, pun kami gegaskan ke Ampang Bowl, Flamingo, sebaik sahaja tamat rawatan haemodialisisnya. Seronok betul emak saya hari itu menyaksikan karenah anak cucu apabila semua sudah berkumpul. Semua ini tidak akan berjaya tanpa usaha keras dan kerjasama yang diberikan oleh Kembar dan Cik Mus sebagai Pengerusi dan Penyelaras Pertandingan. Dari mula tiba hinggalah saat meninggalkan Flamingo, suasana riuh rendah dengan gelak tawa dan telatah yang begitu mencuit hati bukan sahaja kami, malah pekerja dan pelanggan yang lain. Memang kelakar anak cucu Mat Jali.
Hadiah yang ditawarkan memang lumayan. Tambahan pula Cik Mus menambah nilai dengan hadiah-hadiah sampingan yang memang ada kelas. Masing-masing tambah bersemangat untuk menang bila melihatkan hadiah-hadiah yang dipamerkan. Tetapi, yalah - semangat tinggal semangat kepada siapa-siapa yang tidak berkesempatan memegang bola sebelum ini. Waktu bergambar, mengalahkan juara. Usikan dari Ayie, Irwan, Ayoi, Kamal, Cobain, Ikmal, Aswad, Yah Yot, Cik Apek, Cik Wan, Mak Teh, Mak Ngah, Farah, Kembar, semuanya menambahkan sakit perut ketawa. Gila-gila bahasa semua. Gaya bahasa P.Ramlee dan dialog-dialog filem-filem beliau, menggamatkan suasana.
Selepas pertandingan, memang dibuat post-mortem. Kamal dan Baby memberikan alasan tidak dapat fokus memandangkan terlalu memikirkan konsert Super Junior dari Korea yang akan mereka hadiri di Stadium Bukit Jalil sebaik sahaja tamat pertandingan. Mak Ngah yang asyik 'mencuri' bola dari setiap lorong, mengatakan bola dia asyik hilang dari pandangan. Pak Ngah pula 'tersalah' pilih bola. Faizal macam terlupa permainan sebenar. Irwan - hmmphh - hampeh. Tergugat dengan Acu agaknya. Ayie, sikit lagi menggugat. Ikmal, tidak tahan tekanan kutukan - hancur permainan. Kembar pula keletihan bermain bola sepak padang malam sebelumnya. Sayang. Dialah saingan Ayoi sepatutnya. Cik Apek, Cik Wan, Dilla - baik sedikit dari CT Masitah. Tidak tahulah ilmu apa yang CT guna, bola asyik berkawan dengan longkang. Kalau bukan longkang kanan, longkang kiri. Kalau tidak di awal longkang, mesti di hujung longkang. Patut pun dia menang Hadiah Khas 'Cubaan Terbaik'. Semua orang tidak boleh lawan teknik Atiyah. Cuma mungkin masih jet-lag sebab baru sampai dari bercuti di Korea, permainan Atiyah, bukan seperti biasa. Rita, kekal ayu. Mak Teh, kekal kerajaan. Amirul dan Aswad memberikan kejutan. Jangan pandang tidak ada mata. Ayoi - Cisss - cemerlang la pula. Mencapai lebih 200 jatuhan pin dalam 2 permainan. Ayie dan Irwan sebagai pengacau tegar, paling penuh dengan aksi-aksi lucu yang mengganggu konsentrasi. Alasan.
Acara diserikan dengan majlis spontan sambutan ulang tahun Kamal dan Cik Mus. Terharu Cik Mus. Kami amat senang bila tengok Cik Mus senang hati. Pengerusi, Cik Bob, lewat hadir kerana menghantar tetamu Arab dia ke KLIA. Sebagai mangkuk tambah yang kekal, Pengerusi bertungkus lumus menyampaikan hadiah. Itu sahaja peluangnya untuk merasa memegang hadiah. Rata-rata, ramai yang tertekan melihatkan kejayaan Samseng Kampung Dusun. Juara Tahun 2010. Kami sapu bersih piala yang ditawarkan. Bosanova menang tempat ke-2. Ipoh Bar mendapat tempat ke-3. Lu Pikirlah Sendiri - tidak menang langsung! Farah hebat sebab begitu menghampiri hadiah khas jatuhan pin.
Piala Pusingan dan hadiah-hadiah iringan yang diletakkan di rumah, menjadi kebanggaan emak saya. Beliau gembira dengan pencapaian anak cucu - tidak ada lagi leteran boling membazirkan duit. Emak saya bangga dengan cucu-cucunya yang menang. Beliau kerap bertanya siapa yang menang, berapa banyak hadiah yang dapat. Asyik-asyik beliau bertanya Ayoi, Ayie, Kembar, Farah, Cik Apek, Cik Yot, Atiyah, dapat apa. Hairan juga beliau apabila Pengerusi dan Cik Mus tidak ada apa-apa hadiah kemenangan. Apa yang penting kepada semua, emak saya gembira hatinya. masing-masing umpama menegakkan benang yang basah, menunjukkan hadiah yang diperolehi.
Kesimpulannya, pertandingan ini telah megeratkan lagi tali silaturrahim antara kami. Peluang untuk berkumpul begini digunakan untuk menambahkanlagi persefahaman antara satu sama lain. Ahamdulillah semuanya berjalan lancar. Semoga kami berkesempatan melaksanakannya lagi di tahun-tahun akan datang. Tinggal satu lagi acara yang dinanti-nantikan tahun 2010 ini - Percutian Hari Keluarga Hoora Hooray MJ ke-3. Insyallah.
No comments:
Post a Comment