Keprihatinan kita sebagai umat Islam, sebagai rakyat Malaysia, sebagai individu. Sejauh manakah ia berada tatkala tidak melibatkan penglibatan kita secara langsung dalam hal ehwal yang melibatkan emosi ini? Adakah kita hanya taksub dengan kemenjadian yang hanya akan memberi kesan kepada kita sahaja? Sebagai insan biasa, tidak dinafikan seboleh-bolehnya tahap keprihatinan kita hanya berada di jangkauan minda normal sahaja. Mungkin ya, mungkin tidak. Rasanya sekali sekala, elok juga kita memerhati, mengamati, memandang, menakul, menilai dan menambahbaikkan apa sahaja keadaan yang dapat kita sempatkan.

Sesampai di sana, kelihatan pemandu yang mengambil pesakit dari rumah masing-masing ke tempat rawatan memberhentikan van milik pusat rawatan di hadapan kereta saya. Muda budaknya. Ujang. Dalam lingkungan awal 20-an kali. Tanpa rasa susah payah, tanpa rasa malu, tanpa rasa jijik, beliau dengan mudah mendukung seorang makcik dari dalam van ke pusat rawatan. Sambil mendukung, beliau bergurau mengurangkan rasa gayat makcik tersebut. Selepas itu, pantas pula dia kembali ke van, memapah seorang lelaki India tua ke kerusi roda yang menanti. Pun tanpa merengus. Teringat saya suatu masa dahulu, semasa kami menggunakan khidmat pemandu ini, itulah yang sering saya saksikan dan terjadi. Ibu saya akan sedia menanti di tepi tangga rumah. Pemandu yang sama akan sampai, menegur dengan mesra, dan memapah ibu saya menuju ke van. Sesampai di situ, dengan mudah, mendukung ibu saya untuk naik ke dalam van. Sampai di pusat rawatan, mendukung kembali untuk turun ke kerusi roda. Kemudiannya mendukung menuju ke katil rawatan. Biasa saya melihat pemandu-pemandu di situ menawarkan bantuan kepada sesiapa sahaja, walaupun pada waktu rehat mereka. Mulianya hati pemandu-pemandu ini. Mereka tidak perlu dikerah. Mereka ini, bukannya golongan yang pendiam atau membawa perawakan alim, tidak. Mereka seperti belia lain, macam mana rockers biasa. Kalau melihatkan cara mereka berpakaian, kita boleh ingatkan kutu manakah ini. Tetapi dari segi kerja, dari segi hati dan perasaan, hebatnya jasa mereka.
Apabila masuk ke ruang rawatan, kelihatan beberapa orang Misi sedang sibuk menyelenggarakan mesin-mesin untuk memulakan proses pembersihan darah. Apabila ibu saya bersedia untuk untuk duduk di kerusi timbang berat badan, terus beliau disapa oleh seorang Misi muda dengan mesra. Cerianya wajah ibu saya melihatkan wajah yang amat dikenalinya itu. Hilang mengantuknya. Apabila menyucuk jarum yang besar dan menyeramkan saya itu, seakan pesakit tidak merasa apa-apa. Saya perhatikan setiap kali mereka membuat sesuatu proses seperti mencucuk jarum, menarik plaster, membersihkan darah yang tertumpah, memberikan ubat bila pesakit mengadu pening, pasti mereka lakukan sambil berbual dengan pesakit. Tinggi pengetahuan dan amalan psikologi mereka.
No comments:
Post a Comment