Kesempatan kerap berkursus dan berjumpa, membuatkan saya banyak didedahkan dengan kisah-kisah guru mengajar di dalam kelas. Macam-macam pengalaman yang mereka tempuhi dalam memastikan anak murid, samada yang dedikasi, yang nakal, mahu pun yang susah hendak dikategorikan sebagai pelajar, berjaya di dalam pembelajaran mereka. Kisah-kisah ini acap kali mengundang rasa kagum, gelihati, terkejut, sebak dan macam-macam lagi perasaan yang tidak dijangkakan. WP Labuan beruntung kerana mempunyai ramai guru yang bersungguh-sungguh mengajar anak bangsa, tanpa mengira penat lelah. Memberikan kelas tambahan kepada mereka yang memerlukan, sudah menjadi lumrah kehidupan mereka. Menghabiskan masa seharian di sekolah membuat berbagai tugasan yang kadangkala tiada kaitan dengan proses P&P kadangkala sudah menjadi budaya dengan kehidupan mereka. Dua hari lepas, saya mendengar cerita bagaimana seronok dan puasnya hati Cikgu Yahya di SM St.Anne mengajar di kelasnya. Kepuasan amat dirasakan apabila murid memberikan tindakbalas positif pada P&P yang berjalan. Apabila guru seronok, pelajar turut rasa seronok. Apatah lagi apabila suasana di dalam kelas riuh rendah dengan aktiviti pembelajaran berkesan ini. Apabila guru rasa terkesan sebegitu, ini merupakan kejayaan yang hebat di dalam kariernya. Beberapa minggu sudah pula saya berjumpa dengan En.Hasnan di SK Pekan Satu yang meluahkan rasa hatinya. Beliau sentiasa mengubah rutinnya untuk memastikan perasaan jemu tidak menjenguk. Berbagai projek dijalankan untuk pelajar dan juga dirinya untuk memastikan keberkesanan yang maksimum tercapai. Cik Suriani di SK Layang-Layangan pula sentiasa mencari aktiviti yang menyeronokkan. Kehadiran beliau sentiasa dinanti-nantikan murid. En.Roziman pula dengan gayanya tersendiri membuatkan murid sentiasa tercari-cari beliau. Cik Jasmini di SMK Mutiara, walau dibebani dengan waktu mengajar yang penuh, di samping tugasan lain yang mencabar keimanan, namun tetap dengan ketelitian dan kesungguhannya. Komitmen mereka inilah yang menarik perhatian saya. Pn.Chin di SM Sains, Cik Yoke Peng di SM Teknik dan En.Cally di SMK Labuan pula, rakan-rakan guru saya ini memang terkenal dengan kesempurnaan tugasan mereka. Walau kerap keluar berkursus, persiapan rapi untuk proses P&P yang mereka sediakan, membuatkan mereka tidak pernah menghampakan. P&P mereka di dalam bilik darjah amat menyenangkan mata memandang. Keberkesanan P&P mereka terbukti pada setiap keputusan peperiksaan yang dijalankan. Murid-murid yang ditanya tidak teragak-agak menyatakan keberkesanan hasil pengajaran guru-guru hebat ini. Banyak lagi kisah keberkesan guru di dalam kelas yang akan saya luahkan dari masa ke semasa. Kalaulah saya dapat menjadi sehebat mereka mencorakkan masa depan murid....
Wednesday, January 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment