Naik kereta? Naik bas? Sewa bas? Naik Keretapi? Naik kapalterbang? Allah, semuanya memerlukan duit. Ada duit, semuanya boleh jadi. Kalau naik kereta, minyak, tol, tiket feri, mahal tu. Naik bas? Pun kena naik feri. Leceh dengan ciak miak anak-pinak dan beg-beg baju. Itu tidak termasuk dengan satu tupperware daging dinding Cik Yot yang sudah terbukti kekerasannya. Naik keretapi? Di mana pula nak berhenti? Kapalterbang? MAS? Air Asia? Firefly? Perancangan Hari Keluarga MJ 2010 ialah ke Pulau Lagenda, Langkawi. Bunyi memang hebat. Dari Kuala Lumpur ke Langkawi, jauh perjalanan. Disebabkan kami orang kebanyakan, bukan orang ada-ada, perkara yang paling penting dalam agenda ialah, kumpul duit. Macam-macam duit kami sudah mula kumpul. Bermula dari 2009 lagi. Bendahari yang tidak beberapa usaha atau setia, CT Mas, dengan sopan santunnya mengutip duit setiap bulan dari setiap keluarga. Macam-macam gaya sudah dibuatnya termasuklah yang berbaur ugutan. Bermula dari keputusan mesyuarat minggu sudah, jumlah yang akan dikumpul nampaknya bertambah. Duit tambang kapalterbang. Setiausaha golongan belia, Ika, berasap melayari internet setiap hari menunggukan tawaran termurah dari macam-macam syarikat kapalterbang. Manalah tahu, untung sabut timbul...Minggu sudah Cik Apek menyarankan kami berdoa ramai-ramai supaya permaidani mak di ruang tamu tiba-tiba jadi permaidani terbang. Hmm, kalau adalah wujudnya tikar ajaib itu, senang nanti kami terbang ke mana-mana. Tambahan pula kalau ada bangsi hikmat sebagai bonus...Tetapi semua itu hanyalah di dalam khayalan. Realitinya amat berlainan. Namun begitu perancangan tetap rancak dijalankan, menunggu masa untuk terlaksana sahaja. Tempat tinggal, tempahan makanan, urusan pengangkutan di pulau, agenda program, semua telah dirancang dengan rapi. Golongan belia mahu buat gempak sakan tahun ini kononnya. Entahkan jadi, entahkan tidak, waulahualam. Semoga sukses, insyallah.
Thursday, January 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment